Persoalan-persoalan ini timbul akibat ketidakjelasan dan kekeliruan orang ramai bagaimana kumpulan T15 diukur? Kita memahami kesukaran pemahaman pengukuran T15 bagi masyarakat biasa kerana pengukuran ini mungkin bersifat “pemikiran aras tinggi”. Lebih mendukacitakan tidak kurang juga sebahagian ahli akademik dan ekonomi turut tidak memahami konsep dan pengukuran T15. Semuanya mendendangkan lagu “keliru” nyanyian Ajai dan Nurul yang menjadi hit satu ketika dahulu.
Jika ditelusuri sejarah perancangan ekonomi negara, penggunaan konsep kumpulan isi rumah mengikut kelas pengagihan populasi dan pendapatan diperkenalkan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMKe-10). Rancangan-rancangan Malaysia terdahulu menggunakan pendekatan kumpulan etnik, lokasi geografi dan jenis pekerjaan dalam mengukur pendapatan isi rumah.
Dari perspektif ekonomi, mengukur pendapatan isi rumah menggunakan pendekatan ciri-ciri sosio-ekonomi lebih efektif kepada dasar berbanding dengan kelas pendapatan. Latar belakang sosio-ekonomi mempertimbangkan pelbagai faktor selain pendapatan, seperti pendidikan, struktur keluarga, jenis pekerjaan, dan lokasi geografi, yang memberikan gambaran yang lebih lengkap mengenai keperluan individu atau isi rumah. Pendekatan ini terbukti secara ilmiahnya berdasarkan kajian dan amalan terbaik negara-negara maju.
Penulis tidak ada jawapan mengapa perubahan daripada sasaran menggunakan ciri-ciri sosio-ekonomi kepada kelas pendapatan dilakukan. Jika disemak situasi politik pada ketika RMKe-10, penulis percaya faktor ini menyumbang kepada pengenalan kaedah ini. Tetapi, pengenalan kaedah kelas pendapatan seperti ini mengundang kekeliruan dan kesamaran dalam mengenal pasti sasaran isi rumah sehingga kini.
Penentuan tahap pendapatan isi rumah menggunakan kriteria sosio-ekonomi seperti kumpulan etnik, lokasi geografi, tahap pendidikan, jenis pekerjaan dan lebih efektif dan responsif kepada dasar ekonomi dan sosial. Apabila dasar-dasar ditujukan kepada dimensi sosio-ekonomi tertentu, kesannya dapat dilihat dengan lebih segera dalam kriteria ini kerana ia secara langsung mempengaruhi taraf hidup dan mobiliti ekonomi individu.
Kerajaan disarankan untuk mempertimbangkan kembali penggunaan kriteria sosio-ekonomi dalam menentukan tahap pendapatan bagi menangani keperluan rakyat yang pelbagai dan kompleks dengan lebih berkesan. Dengan memasukkan faktor seperti saiz keluarga, kos sara hidup mengikut kawasan, kestabilan pekerjaan, keadaan kesihatan, dan tahap pendidikan, kerajaan dapat mengenal pasti dan menyokong kumpulan yang terdedah yang mungkin tidak tertangkap oleh kaedah pengelasan pendapatan tradisional.
Pendekatan ini membolehkan reka bentuk dasar yang lebih saksama, memastikan bantuan sampai kepada mereka yang menghadapi cabaran sosio-ekonomi unik. Selain itu, penggunaan kriteria sosio-ekonomi meningkatkan kepekaan dasar, membolehkan intervensi yang disasarkan untuk menangani punca akar kemiskinan dan kerentanan ekonomi, sekali gus memupuk mobiliti sosial jangka panjang dan mengurangkan pergantungan kepada bantuan kerajaan. Pendekatan ini bukan sahaja memastikan penggunaan dana awam yang lebih cekap tetapi juga selaras dengan objektif pertumbuhan inklusif, menjadikan sistem sokongan ekonomi lebih adaptif kepada perubahan keadaan masyarakat.
Akhir kalam, penulis berharap ahli akademik di Malaysia dalam bidang ekonomi pembangunan terutamanya pengagihan pendapatan boleh memainkan peranan yang lebih proaktif dan responsif dalam membantu kerajaan mengurangkan “titik buta” perancangan ekonomi. Beri nasihat yang betul walaupun adakalanya pahit untuk ditelan bagi manfaat keseluruhan rakyat.
* Dr. Mohd Yusof Saari merupakan Penasihat Ekonomi di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi dan/atau berdasarkan bidang tugasnya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.