Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata inisiatif ini bertujuan meningkatkan keadilan dalam pasaran buruh dengan memberikan perlindungan sosial kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan, selaras dengan piawaian antarabangsa
"Ketika ini, pekerja bukan warganegara mempunyai pilihan untuk menyumbang kepada KWSP secara sukarela. Dengan dasar baharu ini, lebih dua juta pekerja bukan warganegara di Malaysia dijangka akan mendapat manfaat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh KWSP hari ini.
KWSP akan mengumumkan maklumat lanjut mengenai kadar caruman, golongan sasar utama, dan mekanisme pelaksanaan dasar pada masa yang sesuai.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan merancang untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum ke dalam KWSP, yang akan dilaksanakan secara berfasa.
KWSP menyambut baik kelulusan kerajaan untuk meningkatkan program i-Saraan dengan menaikkan insentif padanan daripada 15 peratus kepada 20 peratus, dengan maksimum RM500 setahun dan had seumur hidup RM5,000 bagi setiap individu.
Penambahbaikan itu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2025, dijangka memberi manfaat kepada lebih 330,000 peserta i-Saraan sedia ada dan baharu.
Kenyataan tersebut memaklumkan bahawa pada separuh pertama tahun ini, program i-Saraan telah merekodkan jumlah caruman sebanyak RM1.61 bilion daripada 330,196 ahli, mencatatkan peningkatan 103 peratus berbanding RM789.3 juta serta peningkatan 56 peratus dalam bilangan ahli daripada 211,361 dalam tempoh yang sama pada 2023.
"Sebagai penghargaan terhadap sumbangan suri rumah kepada pembangunan keluarga dan negara, kadar insentif padanan kerajaan bagi program i-Suri sebanyak 50 peratus daripada jumlah caruman tahunan akan dilanjutkan pada 2025," menurut kenyataan itu.
KWSP memaklumkan inisiatif itu tertakluk kepada had maksimum insentif padanan kerajaan sebanyak RM300 setahun dan RM3,000 untuk seumur hidup atau mencapai umur 55 tahun, mana-mana yang terdahulu.
-- BERNAMA