PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan membantu Perusahaan Otomobil Bawah Sdn Bhd (Perodua) mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) pertama di Malaysia berharga di bawah RM100,000.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementerian itu yakin Perodua akan dapat mencapai sasaran tersebut menjelang akhir 2025.

"Tujuan kami ingin membantu dan memudahkan Perodua adalah kerana kami ingin menjadikan EV sebagai kenderaan mampu milik.

"Perodua telah berbincang dengan MITI, dan kami optimis dengan rancangannya untuk mencapai sasaran tersebut menjelang akhir 2025," katanya selepas Pelancaran JAC Motors Brand, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul juga berkata sehingga September 2024, hampir 16,000 kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) didaftarkan di Malaysia, melebihi kira-kira 13,000 unit yang didaftarkan sepanjang 2023.

"Momentum positif ini telah membawa kita lebih dekat kepada sasaran 20 peratus EV daripada jumlah jualan keseluruhan industri menjelang 2030," katanya.

Mengenai infrastruktur pengecasan, beliau berkata dalam tempoh tiga bulan sahaja, 565 pengecas baharu telah ditambah, menjadikan jumlah keseluruhan stesen pengecas awam kepada hampir 3,200 pada akhir September.

"Kita menyasar untuk mempunyai 10,000 pengecas awam, mengurangkan nisbah pengecas EV kepada 1:9 menjelang akhir 2025," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, industri automotif Malaysia terus menjadi tonggak utama ekonomi negara, menyumbang kira-kira empat peratus kepada keluaran dalam negara kasar negara setiap tahun.

"Dengan evolusi pesat pasaran EV, Malaysia telah bersedia untuk menguasai sebahagian besar pasaran EV ASEAN, yang diunjurkan mencecah US$2.7 bilion (US$1=RM4.29) menjelang 2027," katanya.

-- BERNAMA