Kerajaan diminta segera membantu golongan miskin bandar yang membelenggu warga kota selama ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk usaha kerajaan untuk mengenalpasti beberapa syarat untuk mendapatkan bantuan selain isu teksi.

Tegasnya, isu yang berkenaan juga akan dikemukakan kepada menteri terlibat dan juga kerajaan.

"Kadar kemiskinan bandar dan masalah ini lebih parah dari dijangka. Umpamanya, kemiskinan, kesesakan bebelas-belas orang dalam satu rumah, rumah kecil, satu bilik dan ia menyebabkan kesan masalah sosial, masalah kesihatan dan mutu pendidikan.

"Jadi ini kita kenal pasti, tentunya jabatan dan kementerian berkaitan telah mengambil langkah. Saya fikir perlu ada asakan lebih agar kita dapat selesaikan sebahagian masalah," katanya.

Anwar berkata demikian semasa sidang media siri Jelajah Presiden ke PKR Wilayah Persekutuan di Kompleks Darul Putri, pada Selasa.

TONTON: DNA 23: Negara perlu bergerak maju, kepelbagaian kekuatan Malaysia

BACA:
Kerajaan digesa bina lebih banyak rumah kos rendah bawah RM120,000

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun melahirkan kebimbangan dengan gejala kemiskinan bandar sambil menyifatkannya lebih serius daripada kemiskinan di kampung.

Jelasnya, lebih banyak peluang pekerjaan perlu dicipta untuk golongan muda di kampung bagi mengurangkan penghijrahan orang muda ke bandar untuk mencari rezeki tetapi akhirnya tetap terperangkap dengan masalah kemiskinan bandar.

Anwar sebelum ini dilaporkan melahirkan kecurigaannya terhadap data kemiskinan yang menunjukkan jumlah golongan miskin bandar lebih tinggi berbanding miskin desa di negara ini.

Mengikut perangkaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sehingga 28 Februari 2019, jumlah kemiskinan yang disahkan berjumlah 190,534 yang mana jumlah miskin sebanyak 134,553 dan miskin tegar 55,981.

Daripada jumlah tersebut, jumlah miskin bandar didapati seramai 107,114 (56 peratus), lebih tinggi dari jumlah miskin luar bandar iaitu 83,420 (42 peratus).