KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui berlaku isu kelewatan dalam pengeluaran ‘fleet card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan memberi jaminan proses itu akan dipercepatkan.


Ringkasan AI
  • Kerajaan mengakui kelewatan dalam pengeluaran 'fleet card' di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan berjanji akan mempercepatkan proses tersebut.
  • Masalah kelewatan disebabkan oleh syarikat minyak, namun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup boleh memberi kelulusan segera sebaik sahaja dokumen lengkap diterima kerana sistem telah diintegrasi dengan JPJ.
  • Sementara menunggu fleet card dikeluarkan, pengguna diminta menggunakan cash card, dengan kerjasama rapat antara kementerian dan lima syarikat minyak untuk mempercepatkan pengeluaran fleet card.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, masalah itu timbul berikutan kelewatan daripada syarikat minyak.

Menurutnya, bagi kementerian, kelulusan boleh diberikan serta-merta sebaik sahaja dokumen lengkap kerana sistemnya sudah diintegrasi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Memang saya akui terdapat masalah kelewatan 'fleet card' oleh syarikat minyak dan kita meneruskan engagement dengan syarikat minyak untuk memastikan ia lebih cepat dikeluarkan.

“Selain daripada reimbursement (bayaran balik), kita dan MOF (Kementerian Kewangan) akan mempermudahkan prosesnya.

“Kita juga minta syarikat minyak melaksanakan penggunaan cash card sementara menunggu fleet card itu dikeluarkan.

“Insya-Allah kita ambil maklum kekhuatiran dan sedikit kerumitan dihadapi pengguna disebabkan fleet card ini dan kita akan terus bekerjasama rapat dengan lima syarikat minyak ini untuk mempercepatkan pengeluaran fleet card ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu, menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH - Kota Melaka) yang memaklumkan menerima aduan berkaitan fleet card yang pengeluarannya agak lambat.