Liew Chin Tong dipersoal kerana tidak membuat kenyataan menyokong tindakan Kementerian Luar selama ini yang mempertahankan Sabah.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, Pengarah Strategik DAP serta pembangkang juga dipersoal kerana tidak pernah membuat sebarang langkah untuk membidas tindakan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr..

"Kalau Liew Chin Tong hendak tuduh saya gunakan isu ini sebagai modal pilihan raya, cuba tanya Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dahulu, kenapa hanya pada 28 Ogos iaitu selepas tarikh PRN Sabah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru Shafie tiba-tiba hendak cadang agar Kerajaan runding dengan Filipina?

"Jadi, sebenarnya siapa cuba jadikan isu ini sebagai modal pilihan raya?Sebagai Menteri Luar, tentunya saya perlu respon terhadap cadangan Shafie agar tidak timbul kekeliruan. Media juga minta saya respon.

"Takkan Liew Chin Tong hendak saya berdiam? Ke masa jadi Timbalan Menteri Pertahanan dahulu, Liew Chin Tong memang suka berdiam?" soalnya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Jumaat.

BACA: Saya kecewa Shafie cadang Malaysia berunding dengan FIlipina - Hishammuddin

BACA:
Sabah tetap milik Malaysia sampai bila-bila - Hishammuddin

Sebelum ini, beberapa portal melaporkan kenyataan Chin Tong yang menyifatkan tindakan Hishammuddin menggunakan isu tuntutan senator Filipina ke atas Sabah sebagai bahan politik ketika ini adalah tidak wajar.

Jelas Chin Tong, Hishammuddin bertindak sedemikian kononnya untuk menunjukkan dirinya tegas dan pada masa sama memberikan gambaran Mohd Shafie berlembut terhadap Filipina.



Dalam pada itu, Hishammuddin turut melahirkan perasaan kecewa kerana tindakannya mempertahankan kedaulatan Sabah dianggap sebagai sesuatu yang jijik.

"Petang semalam saya ada baca, Chin Tong tulis tindakan saya menegaskan pendirian Kerajaan untuk tidak berunding dengan Filipina menjijikkan.

"Beliau juga minta saya letak jawatan kerana jadikan hal ehwal antarabangsa sebagai isu pilihan raya.

"Ini saya tak nak komen. Biarlah rakyat sendiri lihat dan nilai tahap pemikiran pemimpin pembangkang," ujarnya lagi.