KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraikan hari kebangsaan dan ulang tahun ke-50 dengan mengadakan program Konvoi Merdeka 50 tahun UTM 2022 pada Sabtu.

Perjalanan sepanjang 350 Kilometer yang bermula dari Johor dan berakhir di Kuala Lumpur itu mempunyai seramai 200 orang peserta yang melibatkan 50 buah kereta bernombor pendaftaran kenderaan khas UTM dan 100 buah motorsikal berkuasa tinggi.

Ketua konvoinya, Prof Madya Dr Mohd Ariffin Abu Hassan berkata, perjalanan mereka bermula seawal 7 pagi dan bergerak dari UTM Johor Bahru, melalui UTM Pagoh, Dataran Perbadanan Putrayaja dan berakhir di UTM Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah... perjalanan dari UTM skudai seterusnya pergi ke UTM Pagoh dan perbadanan Putrajaya dan akhirnya UTM Kuala Lumpur, perjalanannya yang penting sangat lancar, alhamdulillah, semua dalam keadaan yang baik, tiada masalah besar yang berlaku, dan kita dapat 50 kenderaan dan seratus bikers atau motorsikal berkuasa tinggi.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penutupan Konvoi  Medeka Semarakkan Bulan Kemerdekaan dan Sambutan 50 tahun UTM di ibu kota.

Manakala Pengarah Program, Prof Madya Dr Yusof Boon menyatakan bahawa objektif utama konvoi itu adalah bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-65 sebagai manifestasi patriotism terhadap tanah air, sekali gus meraikan sambutan 50.

Mengulas lanjut, beliau juga berkata tujuan lain konvoi ini diadakan adalah bagi mempromosikan nombor pendaftaran kenderaan khas UTM bagi menzahirkan kebanggaan warga UTM yang menggunakan nombor pendaftaraan tersebut.

Hadir bersama, Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi Lembaga Pengarah UTM bagi merasmikan majlis penutupan konvoi itu.

Ketibaan pasukan konvoi di Dataran Perbadanan Putrajaya itu disambut oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud di dalam satu Majlis Penghargaan Alumni UTM yang diadakan di situ.

Salah satu acara penting didalam program konvoi ini adalah Program Khidmat Masyarakat iaitu penyampaian sumbangan sebanyak RM5,500 kepada Rumah Anak Yatim Rahoma Darul Fakir Malaysia.