KEPALA BATAS: Pernah terhenti akibat pandemik Covid-19 dua tahun lepas, program Kembara Singgah Sahur Parlimen Kepala Batas kembali meneruskan tradisi menyantuni dan menghargai pengorbanan  anggota keselamatan dan wira tidak didendang yang bertugas termasuk wira oren Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, meskipun Ramadan sudah hampir ke penghujungnya, namun, pihaknya tidak melepaskan peluang bertemu muka dan menyerahkan menu bersahur kepada petugas syift malam di balai-balai polis dan bomba di sekitar Parlimen itu.

Reezal Merican yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, menerusi program  ini ia secara tidak langsung dapat menzahirkan penghargaan pihaknya kepada petugas yang menyumbang kepada negara, di samping meraikan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.

“Kita ingin membawa mesej di sebalik kita merayakan sambutan Aidilfitri ini, jangan kita lupa ada wira-wira yang berada di sebalik perasaan kita ini, mereka yang tidak didendangkan antaranya wira biru, polis, wira merah bomba dan tidak ketinggalan terkecuali wira oren.

“Ramai yang tidak ambil peduli kumpulan ini adalah wira oren jalanan yang kerja membesih dengan MBSP. Bila ramai dari Kuala Lumpur pulang ke kampung halaman pasti akan berlakunya penjanaan sisa-sisa berlebihan daripada kebiasaan, tanpa ada wira oren ni kehidupan kita juga tidak akan berada dalam keadaan baik jadi jangan lupa (wira oren),” kata Reezal Merican.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kembara Singgah Sahur yang turut disertai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad dan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Saadon Moktar.

Konvoi Kembara Singgah Sahur kali ini menjelajah ke 15 lokasi balai polis dan bomba serta Komuniti Rukun tetangga di Seberang Perai Utara.

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Program yang diadakan secara tradisi sejak lapan tahun lalu, kata beliau, mendapat sambutan baik pada setiap bulan Ramadan.

“Saya ambil langkah jelajah sahur lapan tahun dahulu sebagai salah satu usaha mendekatkan komuniti dengan kumpulan wira biru, wira merah dan juga wira oren sebagai tanda terima kasih serta sanjungan kami terhadap pengorbanan mereka,” ujar beliau lagi.