IPOH: Polis Perak menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung desakan membuka semula siasatan kes kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam, enam tahun lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tindakan termasuk mengklasifikasikan semula kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan akan dilakukan sebaik menerima arahan berkenaan.

Menurutnya, kes berkenaan sebelum ini telahpun dirujuk ke Mahkamah Tinggi Ipoh, namun terdapat tuntutan baharu dibuat keluarga mendiang menerusi serahan memorandum kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita akan jalankan siasatan itu setelah mendapat arahan daripada DPP.

"Sekiranya terdapat arahan, maka kita akan lihat dan buka semula kertas siasatan dan mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh)," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, sebanyak 29 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai Lawyers For Liberty (LFL) menyerahkan memorandum bagi memohon polis membuka semula siasatan kes kematian pegawai kadet berkenaan.

Memorandum itu diserahkan melalui Peguam dari LFL, Zaid Malek pada jam 10.45 pagi kepada pegawai PDRM di Bukit Aman.

Tuntutan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 29 Julai lalu yang mengklasifikasikan kematian pegawai itu sewaktu menjalani latihan pegawai kadet di Lumut pada 19 Mei 2018 sebagai kes homisid.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner pada 16 Jun tahun lalu yang memutuskan ‘keputusan terbuka’ berhubung inkues bagi menentukan punca kematian pegawai kadet terbabit.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, punca kematian mangsa ialah edema pulmonari yang disebabkan oleh Leptospirosis dan akibat langsung daripada tindakan pegawai TLDM yang bertanggungjawab bagi latihan kadet menafikan rawatan perubatan kepada Soosaimanicckam. -- Sinar Harian