KUALA LUMPUR: Tiada unsur penderaan dalam kes kematian empat ekor kucing yang dilaporkan di Universiti Malaya sejak Disember lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Datuk Ayob berkata, hasil bedah siasat terperinci oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mendapati kematian kucing-kucing berkenaan berpunca daripada serangan haiwan liar.

Azry Akmar memaklumkan polis menerima lima laporan berhubung penemuan lima bangkai kucing, masing-masing pada 17, 20, 21 dan 25 Disember lalu manakala laporan terbaharu diterima pada Khamis.

Jelasnya, punca kematian dua kucing yang ditemui pada 20 dan 25 Disember lalu adalah akibat kecederaan parah pada bahagian dada, yang mengakibatkan luka dan pendarahan di bahagian jantung, seterusnya menyebabkan kekurangan darah serta kegagalan sistem peredaran darah.

"Kesan kecederaan bangkai kucing yang ditemui pada 20 Disember adalah tiga kaki yang kesemuanya adalah kesan koyak tidak sekata, tulang kaki patah tidak sekata dan bukan berpunca daripada sebarang objek tajam.

"Manakala bangkai kucing yang ditemui pada 25 Disember mengalami patah tulang rusuk kiri selain kesan koyakan pada jantung yang selari berpunca dari tusukan rusuk yang patah," katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Sebelum ini, hasil siasatan dan bedah siasat oleh DVS menunjukkan dua bangkai kucing yang ditemui pada 17 Disember lalu berpunca daripada gigitan haiwan dipercayai anjing.

Sebanyak 11 rakaman percakapan telah diambil dalam kalangan pensyarah, penuntut, polis bantuan, aktivis haiwan dan doktor veterinar.

Sementara itu, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan berhubung laporan kematian kucing yang diterima semalam.

Bangkai kucing itu telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi tujuan bedah siasat.