KUALA LUMPUR: Kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap vaksin COVID-19 Sinovac akan meningkatkan keyakinan terhadap pengambilan vaksin tersebut.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar, ini membuktikan vaksin tersebut selamat dan berkesan.

"Pengiktirafan global ini meningkatkan keyakinan ketika 12 juta bekalan vaksin Sinovac kita akan memastikan 18 peratus populasi negara ini mendapat manfaat daripadanya," katanya menerusi akaun Twitter hari ini.


Terdahulu hari ini, WHO meluluskan vaksin COVID-19 keluaran Sinovac itu untuk kegunaan kecemasan iaitu vaksin kedua buatan China yang menerima kelulusan itu.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sudah memuktamadkan kelulusan vaksin dua dos itu, yang kini sudah diedarkan ke beberapa negara di serata dunia.

Bulan lalu, Sinopharm menjadi vaksin COVID-19 pertama buatan China yang mendapat kelulusan WHO.

Selain itu, turut mendapat kelulusan WHO untuk penggunaan kecemasan ialah vaksin Pfizer/BioNTech, Moderna, Johnson & Johnson dan AstraZeneca yang dihasilkan di India, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah (EU).