Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, ia membabitkan penawaran kepada 6,300 calon PISMP tahun ini yang selari dengan jumlah kekurangan guru direkodkan KPM.
Menurutnya, ia berbeza daripada ketetapan terdahulu yang tidak membenarkan keseluruhan pengambilan guru dibuat dalam kalangan calon PISMP.
Maka katanya, pengambilan calon PISMP kali ini diperluas kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan matrikulasi bagi menampung keperluan.
Ini termasuk pendekatan pengambilan guru secara kontrak perkhidmatan bagi mengatasi isu sama sejak dua tahun lalu.
"Tahun ini kita berjaya untuk mendapatkan calon dan membuat penawaran 100 peratus membabitkan 6,300 orang untuk semua jenis sekolah seliaan KPM.
"Ia sudah pun ditawarkan dan ditempatkan, saya anggap ini amat penting untuk memastikan dalam lima tahun mendatang apabila calon PISMP tamat pengajian, maka ia dapat diselesaikan secara berperingkat," ujarnya pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai isu kekurangan guru yang disifatkan masih gagal diselesaikan.