Presiden dan Pengerusi, PEMANDU Associates, Datuk Seri Idris Jala berkata, pelan berkenaan tidak perlu diubah, sebaliknya pihak berkaitan perlu menumpukan kepada usaha melaksanakannya dan mencari jalan penyelesaian yang berkesan untuk pembangunan pendidikan negara.
"Kuncinya adalah, jika berlaku perubahan dalam kerajaan dan kepimpinan, jangan mula mengubah pelan pembangunan itu. Tiada yang salah mengenai pelan pembangunan itu.
"Jadi, pastikan anda tidak mengubah pelan pembangunan itu, sebaliknya mencari jalan penyelesaian dengan bertanyakan kenapa pelaksanaannya tidak berjalan dengan baik. Tumpu kepada pelaksanaannya, sediakan peruntukan untuk lokasi tertentu dan cuba selesaikannya," katanya semasa Webinar bertajuk "Refelction On The Malaysia Education Blueprint" pada Khamis.
Ujarnya, seorang pemimpin yang baik adalah individu yang mampu menyelesaikan masalah termasuk dalam pendidikan.
Idris juga melihat kaedah pengajaran di dalam bilik darjah adalah antara perkara penting dalam memastikan kecemerlangan pelajar.
"Tindakan pertama adalah bermula dari bilik darjah. Selain guru, guru besar dan ibu bapa juga perlu memberi sokongan kepada pelajar.
"Ada ibu bapa yang merasakan ada guru yang tidak melakukan yang terbaik, jadi mereka memberikan kelas tambahan kepada anak mereka kerana ibu bapa meletakkan 'peraturan' itu di tangan mereka. Inilah cara mereka selesaikan masalah kerana ibu bapa merasakan apa yang berlaku dalam kelas adalah tidak begitu 'happening'," tambahnya.
Katanya, sistem pendidikan negara memerlukan guru yang bertanggungjawab dan mampu memberikan hasil pengajaran yang berkesan bagi melahirkan pelajar yang cemerlang.
"Sekali lagi saya ingin nyatakan pergi tengok apa sekolah-sekolah di tangga teratas sedang lakukan, dan pastikan rutin sekolah itu diikuti, kerana tidak perlu tunggu terlalu lama untuk memperoleh keputusan yang cemerlang," katanya lagi.
Dalam pada itu, Idris tidak bersetuju dengan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana ia masih diperlukan.
Malah katanya, sistem pendidikan negara masih memerlukan penilaian berdasarkan peperiksaan.
"Saya tidak percaya sistem pendidikan kita sudah bersedia dengan apa yang dilakukan di Finland dan Norway. Kita masih memerlukan peperiksaan dalam pendidikan," tambah Idris.