Menurut Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar, kejadian seumpamanya pernah berlaku pada tahun 2017 di tempat yang sama.
"Ini merupakan kejadian kali kedua yang berlaku di kawasan ini membabitkan tanah mendap dan pihak kami memandang serius perkara tersebut. Kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"Laporan lengkap mengenainya akan disiapkan sebaik sahaja kajian mengenai kejadian ini dapat dilakukan sepenuhnya," jelasnya kepada Astro AWANI.
Ketika ini katanya kerja-kerja memasang cerucuk di sekitar kawasan yang mendap itu sedang giat dijalankan sejak semalam.
Ia bagi memastikan pergerakan bawah tanah dapat dikurangkan bagi mengelakkan kawasan berkenaan terus mendap.
Kerja-kerja pemulihan itu dijangka akan mengambil masa sekitar seminggu untuk disiapkan.
Sementara itu sebanyak 17 premis komersial di sekitar kawasan tanah mendap itu memberhentikan sebarang operasi buat sementara waktu.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A Ambalangan dalam satu kenyataan hari ini, kesemua mereka hanya akan dibenarkan pulang sehingga pihaknya dapat pastikan keadaan telah kembali selamat.
"17 premis komersial di kawasan sekitar tanah mendap, yang berlaku membabitkan sekitar 150 meter, telah diarah untuk memberhentikan sebarang operasi buat sementara waktu.
"Pagi ini kami mendapati masih berlaku kejadian tanah mendap, jadi kami telah mengambil langkah berjaga-jaga dan memaklumkan kepada pemilik premis untuk hentikan operasi sehingga hami dapat pastikan keadaan telah kembali selamat," katanya.
Dalam kejadian yang berlaku semalam, beberapa kenderaan yang diletakan di kawasan tersebut rosak teruk apabila berlaku kejadian tanah mendap.
BACA: Tanah mendap, lima kenderaan rosak