Di kala pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpalit dalam kes membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), orang awam pula menjadikan kediaman bekas perdana menteri itu sebagai tempat 'persinggahan' pada malam minggu.

Rata-rata mereka tidak melepaskan peluang ini untuk berswafoto berlatarbelakangkan kediaman Najib.

Tidak kurang juga yang dilihat memperlahankan kenderaan ketika melalui Jalan Langgak Duta untuk melihat situasi di sini.



Orang awam yang ditemui Astro AWANI meluahkan rasa teruja berada di pekarangan bekas pemimpin negara tersebut.


Mereka menyifatkan ‘berkampung’ di luar sini sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

Lokasi di Taman Duta dekat sini menjadi tumpuan media sejak Rabu susulan pencarian oleh pihak polis. Lima lokasi lain turut digeledah.

BACA: Pemuda PPBM terima maklumat pindah lebih 50 tas tangan Birkin

BACA: Apartmen mewah keluarga Najib digeledah

BACA: Kondominium mewah digeledah lagi - Polis

Peguam kepada Najib, Datuk Harpal Singh Grewal berkata, kehadiran polis adalah bagi melakukan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram dan Pen­cegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Tiada sebarang dokumen diambil dan tiada penahanan dibuat.

Dalam pada itu, Najib diminta hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan pada Selasa ini bagi membantu siasatan kes melibatkan SRC International.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.