Sebanyak 26.5 peratus penduduk Kedah yang berusia 15 tahun ke atas adalah perokok dan jumlah itu merupakan yang kedua tertinggi di negara ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail ia berdasarkan kepada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 yang turut mendapati bahawa walaupun kesemua fasiliti kesihatan menawarkan khidmat berhenti merokok, namun hanya 17.2 peratus sahaja yang berjaya berhenti dalam tempoh enam bulan.

Sehingga kini katanya, sebanyak 58 buah klinik kesihatan di negeri ini menyediakan Klinik Berhenti Merokok kepada perokok yang ingin berhenti merokok yang mana ia menggunakan kaedah gabungan penggunaan ubatan dan kaunseling.

"Mereka yang ingin berhenti merokok bolehlah ke klinik-klinik kesihatan daerah untuk mendaftar bagi menjalani rawatan berhenti merokok dengan kemudahan yang disediakan sebagai ikhtiar untuk berhenti merokok," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Pewartaan Taman Awam sebagai Kawasan Larangan Merokok dan Nafas Baru Bermula Ramadan sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia di Taman Jubli Perak, di sini, hari ini.

Sehubungan itu sempena kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi, beliau menyarankan golongan perokok untuk meninggalkan tabiat buruk itu memandangkan tinjauan pihaknya mendapati 95 peratus perokok dalam kalangan umat Islam menyatakan lebih mudah berhenti merokok ketika bulan Ramadan.

"Sudah sampai masanya perokok menggunakan peluang berpuasa selama 14 jam sehari untuk berhenti merokok, kerana rokok membahayakan orang di sekeliling termasuk ahli keluarga yang turut menyedut asap rokok hingga terdedah kepada penyakit kanser," katanya.

Menurut Dr Norhizan, kempen berhenti merokok menerusi program ''Nafas Baru Bermula Ramadan'' akan dipergiatkan bermula hari ini agar dapat mengingatkan orang ramai dan memberi motivasi kepada perokok bagi meninggalkan tabiat itu.

Dalam pada itu, Dr Norhizan menyifatkan langkah kerajaan mewartakan taman-taman awam di seluruh negara dibawah Peraturan 11 (w) dan 11 (x), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (pindaan) 2017, adalah langkah tepat bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok.

Kedah katanya mempunyai 38 buah taman awam yang diwartakan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka yang merokok di kawasan berkenaan boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

-- BERNAMA