ALOR SETAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (Pindaan 2021) bagi menurunkan kelayakan umur daripada 21 kepada 18 tahun untuk individu bertanding sebagai calon di kerusi DUN pada pilihan raya.

Pindaan rang undang-undang itu dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan dibahaskan oleh beberapa ahli DUN (ADUN) sebelum diluluskan selepas dibacakan kali ketiga.

Terdahulu semasa sesi perbahasan itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi (Amanah-Alor Mengkudu) berkata sejajar dengan pindaan tersebut, golongan belia perlu didedah dan diberi kefahaman di peringkat persekolahan mengenai sistem politik dan pemerintahan yang diamalkan di negara ini.

"Dalam pendidikan atau subjek di sekolah, sebelum pelajar itu meninggalkan alam persekolahan mesti diterangkan dalam subjek mengenai sistem negara demokrasi dan raja berpelembagaan bagi memberi kefahaman politik negara, kalau tidak mereka tidak faham dan mengundi ikut suka," katanya.

Bagi Datuk Zamri Yusuf (PKR-Suka Menanti), pindaan itu akan memberi peluang kepada golongan belia khususnya berusia 18 hingga 20 tahun untuk menjadi ADUN dan terlibat dalam menentukan perkara-perkara berkaitan dengan mereka.

"Ketika ini, banyak urusan dan kepentingan sama ada di peringkat negeri atau negara berkaitan dengan golongan belia berusia 18 tahun ke atas, bagi saya kelayakan ini memberi keadilan kepada mereka untuk turut serta dan saya harap pindaan ini diwartakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi dalam sidang media selepas persidangan DUN berkata pindaan rang undang-undang itu adalah selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini yang menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang diluluskan pada 2019.

"Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah ini dipinda untuk memberi ruang atau membenarkan dari segi undang-undang kepada warganegara berumur 18 tahun boleh menjadi calon bagi DUN Kedah dan undang-undang ini telah diluluskan," katanya.

Persidangan DUN Kedah ditangguhkan hari ini dan akan disambung ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak.

-- BERNAMA