ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah mencatat peningkatan selepas 463 mangsa daripada 161 keluarga kini berada di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah, setakat jam 8 pagi ini.

Pertambahan itu berbanding 164 mangsa daripada 58 keluarga di dua PPS di dua daerah iaitu Kubang Pasu dan Padang Terap, yang dilaporkan jam 6 petang semalam.

Pertambahan jumlah mangsa banjir itu menyaksikan tiga lagi PPS dibuka malam tadi iaitu dua di Pokok Sena dan satu di Kubang Pasu.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah mangsa banjir di dua PPS di Kubang Pasu adalah seramai 259 orang daripada 94 keluarga.

Manakala, keadaan banjir di Pokok Sena pula mencatatkan seramai 153 mangsa daripada 48 keluarga di dua PPS sejak dibuka semalam.

Sebuah PPS di Padang Terap yang dibuka sejak jam 12 tengah hari semalam pula mencatatkan seramai 51 mangsa daripada 19 keluarga setakat ini.

Dalam pada itu, berdasarkan maklumat Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran pula, empat sungai di negeri ini mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya.

Sungai terbabit adalah Sungai Padang Terap di Kepala Batas dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di daerah Kubang Pasu, Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar dan satu Sungai Perik di Kampung Perik di daerah Padang Terap.

Kesemua sungai itu menunjukkan trend air menaik setakat ini.