Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata ketika negara dikenakan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 pada 2020, jumlah kerugian TNB ketika itu sekitar RM5.9 juta.
"Namun pada tahun 2022 ia naik mendadak sehingga RM124 juta, sebelum turun kepada RM67 juta pada tahun seterusnya (2023).
"Bagi tempoh antara Januari sehingga September (2024), jumlah kerugian sudah pun mencecah RM103 juta.
“Jadi kita akan lakukan (kajian tentang perbezaan kerugian dari tahun ke tahun). Adakah ia disebabkan pasaran (bitcoin ketika itu) atau kekangan daripada sudut penugasan polis (terhadap aktiviti kecurian elektrik).
“... kalau kita tengok bitcoin value pada saat ketika itu (penurunan kerugian) memang (nilai bitcoin) drop. Jadi adakah pasaran itu main peranan atau faktor lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan enam kenderaan oleh TNB kepada PDRM, yang diserahkan oleh Pengerusi TNB Energy Services, Ir Zahari Dollah kepada Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman, pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily mengalu-alukan sumbangan TNB yang dapat membantu memudahkan operasi polis dalam menangani kes berkaitan kecurian elektrik.
“Masa saya di Pulau Pinang (sebagai Ketua Polis Negeri), pihak TNB telah memberi dua set kontena untuk polis simpan barang-barang kes, dan selain itu pada 2022, pihak TNB telah membekalkan kenderaan Triton sebanyak sembilan buah. Insya-Allah kita harap banyak lagi kejayaan (berkaitan operasi) dapat dicapai dengan bantuan pihak TNB,” katanya lagi.