JOHOR BAHRU: Kebenaran merentas negeri dijangka dapat dimuktamadkan dalam masa tiga minggu lagi, selepas beberapa langkah menyegerakan vaksinasi populasi dewasa di negara ini diambil dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya juga telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencapai sasaran itu iaitu 90 peratus orang dewasa selesai divaksin.

Katanya antara tindakan segera yang dilaksanakan ialah mengaturgerak lebih banyak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) bagi memberi lebih banyak suntikan kepada orang awam di kawasan pedalaman.

Selain itu, memperluaskan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu yang memberi manfaat kepada orang awam yang tinggal berhampiran kem tentera.

“(Kebenaran) rentas negeri Perdana Menteri akan umumkan. Kita akan cuba umumkan kelonggaran itu apabila kita capai 90 peratus vaksin dewasa dan apa perancangan yang kita lakukan bersama dengan pihak KKM kita dapat jayakan dalam tiga minggu lagi.

“Jadi sebelum ianya diumumkan banyak perkara yang perlu kita fikirkan. SOP, tanggungjawab agensi dan sebagainya. Masa ini adalah untuk buat persiapan. Ramai yang tunggu untuk rentas negeri,” katanya.

Rentas Negeri | Kebenaran dijangka dimuktamadkan 3 minggu lagi


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPV Pandu Lalu di Kem PULADA Ulu Tiram, Johor.

Ujarnya lagi kelonggaran rentas negeri itu menuntut rakyat agar terus mengamalkan disiplin yang tinggi.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut menafikan cadangan kerajaan untuk memansuhkan MyTravel Pass dalam masa terdekat.

Katanya laporan dan sumber tersebut adalah tidak benar.

Pada waktu ini tumpuan diberikan kepada rakyat untuk kebenaran rentas negeri.

"Bagaimana kita hendak fikirkan rentas negara apabila rentas negeri pun belum kita putuskan. Ini saya harap izinkan masa untuk rakyat kita keluar negara tetapi tujuan kita sekarang adalah untuk benarkan rakyat kita rentas negeri dalam negara sendiri.

“Saya tidak menafikan bahawa perancangan untuk melihat kepada MyTravel Pass pendekatan kita untuk rentas negara sudah difikirkan MKN dan insya-Allah kita akan bentangkan dalam mesyuarat khas endemik yang akan dipengerusikan Perdana Minggu depan. Dua-dua sekali,” katanya lagi.

Skim MyTravel Pass ini diperkenalkan semasa negara dilanda pandemik COVID-19 yang memerlukan rakyat tempatan memohon untuk ke luar negara.

Skim tersebut dikatakan merumitkan kerana prosesnya perlu mengambil masa 14 hari sebelum kebenaran berlepas diberikan.