KUALA LUMPUR: Kepetahan seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Kementah yang dipanggil 'adik Roland' menarik perhatian netizen yang memuji keberaniannya menemu bual Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, semalam.

Roland yang berpeluang bertemu Hishammuddin ketika lawatan beliau di Kem Kementah di ibu negara sempat bertanyakan tiga soalan.

Ketika ditanya apa perasaan beliau apabila dilantik menjadi Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin memberitahu cita-cita asalnya adalah menjadi seorang peguam.

“Saya nak jadi peguam macam Roland (cita-cita Roland mahu bergelar peguam) tetapi ditakdirkan masuk ke dunia politik.

“Kita mesti ada cita-cita tersendiri, ada asas untuk ceburkan diri dalam apa jua bidang.

“Bila diumumkan sebagai Menteri Pertahanan, saya rasa itu tanggungjawab berat yang harus saya pikul dengan bersungguh dan jujur,” kata beliau.


Meskipun tidak bergelar peguam, Hishammuddin berpesan kepada Roland apa jua bidang yang diceburi seseorang itu harus memiliki sikap rajin, bertanggungjawab, bersemangat dan mempunyai ramai kawan.

Dalam masa yang sama, Hishammuddin turut berpesan kepada para pelajar SK Kementah agar memiliki semangat cintakan tanah air dan menuntut ilmu sebanyak mungkin untuk dijadikan pegangan hidup.

Sebelum sesi temu bual berakhir, Hishammuddin sempat ‘mengusik’ Roland memberitahu susah untuk beliau menolak jika ditanya soalan lagi.

“Susah kita nak marah, kalau dia nak tanya sampai malam buta pun saya tak boleh tolak,” katanya tersenyum.