KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang dianggotai pelbagai latar belakang individu memperlihatkan ketelusan kerajaan dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain berkata, ia sekali gus menafikan dakwaan bahawa darurat diisytiharkan demi kepentingan politik kepartian.

"Jawatankuasa khas berfungsi menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tentang keberterusan keadaan darurat. Jadi, kita lihat bagaimana Baginda memperkenan jawatankuasa bebas ini dan Baginda perlu mengikuti nasihat jawatankuasa.

"Jawatankuasa ini akan meninjau, memeriksa, dan menimbangkan sekiranya keadaan darurat itu masih ada dan sama ada dipendekkan atau dipanjangkan tempoh darurat tersebut. Di sini kita lihat ada ketelusan di pihak kerajaan sendiri untuk menafikan tohmahan bahawa darurat ini diisytiharkan demi kepentingan kepartian, politik kepartian," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Rabu. 

BACA: Tun Arifin Zakaria ketuai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021

Dr Wan Ahmad Fauzi berkata, pelantikan Tun Arifin Zakaria, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat juga tepat kerana bekas Ketua Hakim Negara itu disifatkan sebagai tokoh yang berwibawa selain keanggotaan tokoh-tokoh lain yang terdiri daripada pegawai tinggi kerajaan, bekas pegawai tinggi kerajaan, pakar ekonomi dan wakil-wakil parti politik.

"Yang ada jawatankuasa terdiri daripada pegawai tinggi dan mantan pegawai pegawai tinggi kerajaan dan wakil-wakil parti politik. Jadi saya percaya keadaan ini lebih atau sewajarnya dilihat  sebagai fokus utama mengatasi penularan wabak COVID-19," tambahnya. 

Darurat | Memahami jawatankuasa khas dan fokusnya


Beliau juga yakin selepas penubuhan jawatankuasa bebas itu, Yang di-Pertuan Agong akan menggubal peraturan-peraturan di bawah Seksyen 16 Ordinan Darurat 2021 bagi memastikan ketelusan dan aspek penilaian jawatankuasa.

"Saya percaya jawatankuasa ini juga dipercayai akan mengurangkan tohmahan pembangkang. Yang pastinya, semua pertimbangan, maklumat dan perkongsian akan berlaku dalam jawatankuasa ini," ujarnya. 

Justeru, beliau percaya kerajaan tidak cuba berselindung di sebalik perisytiharan darurat kerana setiap tindakan dilakukan akan sentiasa diperiksa oleh jawatankuasa bebas.