Pesawat khas yang membawa Sultan Ibrahim mendarat di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 2.55 petang dengan ketibaan baginda disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Turut berada di Pangkalan TUDM ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Mengiringi keberangkatan pulang baginda dari China ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Lawatan Negara ke China merupakan lawatan pertama Sultan Ibrahim selepas menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan, atas jemputan Presiden Xi Jinping.
Yang di-Pertuan Agong memulakan Lawatan Negara pada Jumaat lepas dengan diberi sambutan negara di Great Hall of the People di Beijing dan keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Jinping.
Sejurus selepas itu, Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Jinping di Dewan Timur, Great Hall of the People di Beijing, sebelum baginda menghadiri Majlis Santapan Negara yang diraikan Jinping di bangunan sama.
Baginda turut menerima menghadap Perdana Menteri China Li Qiang di Dewan Timur, Great Hall of the People.
Pada lawatan ini, Sultan Ibrahim turut berkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu yang terletak di Beijing Foreign Studies Universiy (BFSU) dengan nama baginda iaitu Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim.
Yang di-Pertuan Agong juga berkenan meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan diaspora Malaysia di China yang teruja bertentang mata dengan Ketua Utama Negara Malaysia.
Mengakhiri Lawatan Negara, baginda berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing (COMAC) bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan terkini China sebelum meninjau dua pesawat yang dibangunkan COMAC di Lapangan Terbang Beijing Capital.
Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan China yang kian berkembang pesat sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013.
Lawatan itu merupakan Lawatan Negara pertama oleh Yang di-Pertuan Agong ke China dalam tempoh 10 tahun, menandakan detik penting bagi kedua-dua negara ketika meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.