KUANTAN: Keadaan banjir di negeri ini semakin pulih apabila mencatatkan hanya 35 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini, berbanding 221 orang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan berkata, kesemua mangsa terbabit ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular di daerah ini.

"Bagaimanapun, jumlah mangsa di PPS SK Sungai Ular tersebut mencatatkan peningkatan berbanding 30 orang semalam.

"Sementara itu, tujuh PPS ditutup iaitu PPS SK Sungai Karang, SK Beserah, SK Pelindung, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung, Balai Raya Bukit Kuin 1, Surau Chendor dan SK Cherating," katanya.

PPS SMK Pelindung, PPS Balai Raya Bukit Kuin 1 dan PPS Surau Sungai Chendor ditutup pada Isnin lalu manakala PPS SK Sungai Karang, SK Beserah dan PPS SK Pelindung ditutup semalam.

LAPORAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan enam sungai di negeri ini merekodkan bacaan melepasi paras amaran setakat jam 7.45 pagi.

Sungai tersebut ialah Sungai Pahang di Lubuk Paku dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran; Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Paloh Hinai, Pekan serta Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan dan Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin.

Sebanyak 11 sungai yang lain merekodkan bacaan melepasi paras waspada iaitu dua sungai di Bera, Jerantut, Maran dan Kuantan.

Dua sungai di Maran ialah Sungai Pahang di Kampung Chenor danSungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang.

Manakala di Temerloh dan Bera pula, Sungai Pahang di Kuala Krau dan Sungai Pahang (Lubuk Pasu); Sungai Pahang di Waterfront, dan Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang di Bera.

Tiga yang lain ialah Sungai Lepar di Jambatan Gelugor dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan; Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut dan Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis.