Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan rakyat Malaysia yang ditembak mati polis di Davao, Filipina, 14 Disember lalu merupakan anggota sebuah kumpulan militan.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26 tahun yang berasal dari Melaka itu dikesan memasuki selatan Filipina pada April lepas.

Dia juga dipercayai mempelajari cara membuat bom di kawasan berkenaan.

Sementara itu, anggota keluarga Noor Fikrie meminta bantuan kerajaan Malaysia untuk membawa pulang jenazah.

Dalam satu kenyataan, Hishammuddin memaklumkan beliau telah mengarahkan polis supaya menguruskan penghantaran pulang jenazah berkenaan dengan segera untuk dikebumikan.

Tambah beliau, kerajaan Malaysia memandang serius terhadap setiap kegiatan subversif dan ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan militan serta penganas kerana ia terbukti mampu menggugat keselamatan dan ketenteraman sesebuah negara.

Sebelum ini, beberapa media melaporkan Noor Fikrie ditembak mati oleh polis Filipina di sebuah hotel di Davao Jumaat lalu, selepas bergelut dengan pihak polis yang ingin memeriksa beg sandang berisi bom buatan sendiri dibawa isterinya.