Akhbar mingguan The Heat telah digantung serta merta selepas menerima arahan penggantungan daripada Kementerian Dalam Negeri.

Perkara ini disahkan oleh laman sesawang The Heat, yang dimiliki oleh HCK Media, sebuah perniagaan percetakan dan digital.

HCK Media turut memiliki portal berita The Ant Daily dan akhbar bisnes Focus Malaysia.

Dalam pengumuman penggantungan itu, The Heat melaporkan bahawa akhbar mingguan itu tidak akan diterbitkan pada 21 Disember seperti yang telah dijadualkan.

“Kami akan membuat pengumuman tentang perkembangan lanjut kepada pembaca, pelanggan dan pihak yang menempah iklan dengan kami, melalui laman ini dan saluran lain.

“Pelanggan akan dibayar pampasan sewajarnya, melalui lanjutan automatik tempoh langganan mereka,” menurut petikan pengumuman akhbar mingguan itu.

Semasa dihubungi, sebuah sumber dari The Heat yang enggan dinamakan berkata wartawan akhbar diberitahu tentang penggantungan itu di dalam satu mesyuarat petang tadi.

Namun, mereka tidak diberitahu tentang sebab penggantungan dan tetap disuruh hadir berkerja seperti biasa.

Akhbar yang memberi tumpuan kepada isu politik, ekonomi dan sosial, dilaporkan telah diberi surat tunjuk sebab pada minggu lepas oleh KDN.

The Heat telah diberi tempoh 14 hari untuk memberi jawapan kepada surat tunjuk sebab tersebut.

Sementara itu, cubaan Astro AWANI untuk menghubungi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Ketua Pengarang The Heat David Lee Boon Siew untuk memberikan komen gagal.