BANDAR BAHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang dianggap sebagai berlebihan memainkan isu membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa mengiktiraf Israel.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pihak terbabit diminta menghentikan perbuatan berkenaan memandangkan pendirian diambil Malaysia amat jelas dalam mengecam dan menolak sama sekali sebarang kekejaman dilakukan Israel terutama terhadap rakyat Palestin.

"Saya percaya bahawa rakyat terbanyak mengikuti perkara ini dan rakyat tahu buat penilaian, sebab itu kita minta hentikan, tetapi kalau berlebihan tentulah pendekatan penguatkuasaan kita ambil.

"Terang-terang pendirian Malaysia ini diketahui seantero dunia, (diketahui) oleh kawan dan lawan, tiba-tiba ada lagi kenyataan yang nak memperlekehkan kebijaksanaan rakyat (dengan dakwa Perdana Menteri mengiktiraf dan sokong Israel), sebab itu kita suruh dia (dan mana-mana pihak berkaitan untuk) hentikan perbuatan seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Kempen Antidadah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Bandar Baharu pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin turut menzahirkan kekesalan terhadap kumpulan berkenaan yang dianggap berlebihan memainkan isu ini terutama melibatkan individu yang menggunakan nama atau label parti Islam.

Katanya, tidak masuk akal, seorang pemimpin negara Islam seperti Anwar mengambil pendirian untuk menyokong Israel.

"Takkanlah (mereka-mereka yang mainkan isu ini) tak boleh buat penilaian langsung bab itu, (mereka buat ini) hanya untuk dapat keuntungan politik, hendak tempek wajah 'hodoh' - Anwar Ibrahim equal to Israel...

"Maka (mereka hendak mengajak) mai lah orang Melayu Islam jangan sokong (kepimpinan Anwar). (Tujuan mereka) macam itu. (Perbuatan ini) hanya untuk memancing sokongan, itu yang saya kesalkan," katanya.

Semalam, Anwar membidas tindakan sesetengah pihak yang memfitnah beliau berhubung isu Israel, menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan memperbodoh rakyat.

Ketika menjelaskan pendirian Malaysia, Anwar menegaskan bahawa negara ini tidak mengiktiraf Israel secara ‘de jure’, meskipun keberadaan negara itu di peringkat antarabangsa adalah fakta ‘de facto’.

Beliau turut menegaskan bahawa semasa berada di Riyadh, beliau mengusulkan agar Israel disingkirkan dari keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu langkah yang mencerminkan pendirian tegas Malaysia terhadap dasar penindasan Israel terhadap rakyat Palestin.

Sehubungan itu, Anwar menolak dakwaan bahawa beliau mengiktiraf Israel, menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah yang diangkat kononnya atas nama agama.