Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Muhammed Yusoff, 31, ditangkap ekoran pemeriksaan pihak polis yang telah menjumpai sejumlah bahan disyaki dadah dalam milikannya.
“Siasatan telah dilakukan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952).
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya,” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen.
Saifuddin Nasution berkata demikian menjawab soalan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang meminta beliau menyatakan tanpa menyentuh urusan mahkamah mengenai jaminan bahawa siasatan polis terhadap Muhammed Yusoff dibuat secara tidak berat sebelah, bebas dan telus kerana ada dakwaan mengatakan bahawa ia adalah penganiayaan politik yang terkait saman beliau terhadap Perdana Menteri.
Pada 14 Julai 2021, Muhammed Yusoff memfailkan saman kepada Anwar kerana mendakwa Ahli Parlimen Tambun itu melakukan serangan secara seksual terhadapnya.
Dakwa Muhammed Yusoff, Anwar melakukan perkara berkenaan di kediaman beliau di Segambut pada 2 Oktober 2018.
Anwar bagaimanapun memfailkan tuntutan balas terhadap Muhammed Yusoff dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual tersebut tidak benar dan berunsur rekaan semata-mata.
Muhammed Yusoff pada 11 September lalu pula dilapor ditahan selepas polis dipercayai menemui dua pucuk pistol tiruan dan bahan dipercayai dadah dalam kenderaan dinaikinya.
Pada Khamis, Muhammed Yusoff mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, 6 September lalu. - Sinar Harian