KUALA LUMPUR: Muhammed Yusoff Rawther didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, dalam kenderaan dinaikinya minggu lalu.

Bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret S Arunjothy.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh susulan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Terdahulu Muhammed Yusoff yang memakai baju-T berwarna hitam tiba di mahkamah dengan diiringi polis dalam keadaan bergari.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 305 gram di kawasan tempat letak kereta hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi 6 September lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman sementara tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Nov depan untuk laporan kimia berhubung kes tersebut.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan penahanan Muhammed Yusoff, susulan penemuan dua pucuk pistol dipercayai tiruan dan satu ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja, di dalam kenderaan dinaikinya di Jalan Bukit Kiara, di sini. 

Suspek ditahan reman selama enam hari sejak Sabtu lalu.

Pada 6 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tujuh hari bermula 16 Jun 2025 untuk perbicaraan penuh berhubung kes saman Muhammad Yusoff yang mendakwa diserang secara seksual oleh Anwar.

Dalam saman yang difailkan terhadap Anwar pada 14 Julai 2021, Muhammad Yusoff mendakwa dia diserang secara seksual di rumahnya di Segambut pada Okt 2018.