KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan mengedar pelbagai barangan seludup bernilai hampir RM1.98 juta menerusi Operasi Palang Timur dan Operasi Makmur III yang bermula 2 hingga 31 Mei lepas.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata operasi bersepadu bersama pihak JKDM Terengganu, JKDM Pahang dan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) itu antaranya berjaya merampas daging khinzir sejuk beku seberat 17.8 tan melibatkan tiga kes bernilai lebih RM450,000.

Turut dirampai rokok seludup bernilai lebih RM200,000 selain 7,000 liter minyak diesel, minuman keras, ayam sejuk beku, beras dan kenderaan klon bernilai lebih RM260,000.

Wan Jamal Abdul Salam berkata Operasi Palang Timur menumpukan pada operasi di darat manakala Operasi Makmur III menumpukan rondaan dan risikan di jalan air meliputi Tumpat, Pulau Perhentian dan Pantai Merang, Terengganu.

"Mereka menggunakan modus operandi membawa masuk dagangan dari negara jiran melalui Sungai Golok atau pesisir pantai menggunakan sampan, kemudian dimuatkan dalam kenderaan sama ada lori atau kereta.

"Barangan ini diedarkan kepada peruncit tempatan, daging babi sejuk beku bagi pasaran pantai barat Semenanjung Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata operasi bersepadu yang dikendalikan COBRA berjaya menggagalkan cubaan pengedaran 2.7 juta batang rokok bernilai lebih RM500,000 dalam lima kes berasingan di Pulau Pinang.

Kesemua barangan rampasan tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA