Kementerian Luar Palestin menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sengaja mengekalkan sokongan terhadap gabungan pemerintahannya melalui keistimewaan yang diberikan kepada sekutunya dalam kalangan golongan berhaluan kanan ekstrem dengan mengorbankan Tebing Barat.
"Netanyahu menggunakan kitaran keganasan sebagai alat politik untuk terus berkuasa dan memanjangkan hayat gabungan pemerintahannya, tanpa mempedulikan usaha mencapai ketenangan dan penyelesaian politik yang menjamin keselamatan serta kestabilan rantau ini," kata kenyataan itu.
Kementerian itu turut menyeru tindakan antarabangsa untuk "mengakhiri pendudukan yang kejam dan berpanjangan ini."
Pada Ahad, Menteri Pembinaan dan Perumahan Israel, Yitzhak Goldknopf, menyeru agar sejuta peneroka haram Yahudi ditempatkan di Tebing Barat yang diduduki.
Beliau juga menggesa Netanyahu untuk "mengambil peluang semasa bagi memperluaskan pembinaan penempatan di Tebing Barat."
Ketegangan di Tebing Barat meningkat susulan perang berterusan Israel di Gaza, yang telah mengorbankan hampir 46,600 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Okt 2023.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 847 rakyat Palestin terbunuh dan hampir 6,700 lagi cedera akibat serangan tentera Israel di wilayah yang diduduki itu.
Pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan pendudukan tanah Palestin oleh Israel yang berlarutan selama beberapa dekad sebagai tidak sah dan menuntut pengosongan semua penempatan yang sedia ada di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.
-- BERNAMA