KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) mematahkan cubaan menyeludup 231 kenderaan mewah serta sebuah kenderaan elektrik (EV) dengan nilai keseluruhan RM27.4 juta termasuk cukai pada Jun lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM Norlela Ismail berkata rampasan kereta jenis Toyota Alphard, Mini Cooper dan Chery Omoda itu dibuat hasil pemeriksaan terhadap 84 kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 25 dan 27 Jun.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kontena berkenaan tiba dari sebuah negara di Asia Timur, manakala kesemua kenderaan termasuk sebuah EV yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000 itu adalah untuk pasaran tempatan.

"Pemeriksan lanjut turut mendapati kesemua kenderaan itu tidak mempunyai permit import dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam kes berlainan, Norlela berkata pihaknya turut merampas 6,500 batang pokok hidup daripada sebuah kontena di pelabuhan sama pada 6 Jun yang dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan termasuk bagi tujuan landskap.

Beliau berkata kesemua pokok termasuk jenis bonsai dianggarkan bernilai RM325,000 yang diikrarkan sebagai pokok landskap plastik itu juga didapati tidak mempunyai permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Ketiga-tiga kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Norlela berkata kastam juga telah merampas empat juta batang rokok bernilai RM2.992 juta serta 381 kilogram tembakau shisha yang dianggarkan bernilai RM43,832 selepas menahan dua kontena, masing-masing di Zon Bebas Pelabuhan Barat dan Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 4 dan 15 Jun.

Beliau berkata kedua-dua barang rampasan itu diikrarkan sebagai Wood Marquetry and Inlaid Wood serta Loose Goods bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagi satu lagi kes, Norlela berkata pihaknya merampas 600 biji pil kuda bernilai RM9,000 daripada bungkusan plastik dalam pemeriksaan di Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 16 Julai lepas.

"Hasil pemeriksaan terhadap bungkusan itu menemukan tiga paket berisi pil dipercayai pil kuda/yaba disyaki dadah jenis amphetamine yang disembunyikan di dalam lipatan seluar jean di dalam bungkusan plastik terbabit," katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA