SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan sindiket pengedaran rokok dan bir tidak sah dianggarkan bernilai lebih RM600,000 termasuk cukai di dua lokasi berbeza di Shah Alam, Selangor, awal bulan ini.

Pengarahnya Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata rampasan pertama melibatkan pemeriksaan ke atas kereta jenis Hyundai Accent dan di kantin kawasan penempatan pekerja warga asing yang menemukan 14,500 paket atau 288,800 batang rokok serta 216 tin (99.36 liter) bir pelbagai jenama dan saiz.

Beliau berkata seorang lelaki warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 40-an turut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Susulan penahanan itu, pasukan turut melakukan pemeriksaan di sebuah banglo di Setia Alam kira-kira 10 malam hari sama dan menemukan 31,986 paket atau 485,000 batang rokok putih pelbagai jenama dan saiz," katanya pada sidang media mengenai rampasan itu di sini hari ini.

Menurutnya kesemua rokok dan bir yang dirampas adalah barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan barangan eksibit itu disita sebelum dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM untuk siasatan lanjut.

Muhammad Ilyas Queek berkata jumlah keseluruhan nilai sitaan rokok, bir dan kereta di kedua-dua lokasi tersebut termasuk cukai ialah RM 623,137.20.

Beliau berkata modus operandi sindiket adalah dengan menyeludup sebelum menyimpan rokok di kawasan penempatan pekerja warga asing dan banglo yang dikawal mereka untuk diedarkan serta dijual dengan harga yang murah di pasaran tempatan.

"Rokok ini biasanya dijual 20 hingga 30 peratus lebih murah dan sasaran mereka adalah pembeli warga asing. Kami masih memburu anggota sindiket ini yang disyaki didalangi warga Bangladesh," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.

-- BERNAMA