PASIR MAS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas rokok seludup bernilai RM2.1 juta termasuk cukai di pesisiran Pantai Senok di Bachok, Selasa lepas.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata serbuan pada 11 malam itu dilakukan hasil maklumat awam dan intipan pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang selama dua minggu.

"Ketika serbuan dilakukan, rokok-rokok ini baru selesai dipunggah masuk ke dalam sebuah lori muatan 10 tan.

"Pemeriksaan lanjut menemukan 2,090,000 batang rokok di dalam lori tersebut. Nilai rampasan rokok dianggarkan sebanyak RM731,500 di pasaran tempatan dan nilai cukai RM1.4 juta," katanya pada sidang media, di hari hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Jamal Abdul Salam berkata semasa serbuan, pemandu lori terbabit sudah melarikan diri.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengesan pemilik barang dan lori berkenaan. Kami percaya rokok-rokok ini untuk pasaran di Kelantan.

"Modus operandi yang dilakukan sindiket berkenaan ialah menggunakan laluan laut di pesisir pantai sebelum dimuatkan ke dalam lori untuk diedar ke pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar.

Wan Jamal Abdul Salam turut menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan lain-lain.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

-- BERNAMA