Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Kong berkata pihaknya turut menahan pemandu dan kelindan lori berkenaan yang berumur 30 tahun dalam kejadian pukul 11 malam itu.
Beliau berkata dalam pemeriksaan, pihaknya menemukan 398 bungkusan tembakau kering di bahagian belakang lori berkenaan, dan keseluruhan rampasan termasuk cukai serta rampasan keatas lori itu dianggarkan RM363,191.
"Ia adalah rampasan terbesar melibatkan tembakau kering dilakukan kastam Kelantan tahun ini," katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kelantan, di sini hari ini.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dibawah Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta yang sama.
Wan Jamal berkata modus operandi penyeludup adalah membawa masuk tembakau kering itu dari negara jiran melalui pangkalan haram di Sungai Golok menggunakan sampan atau bot.
"Tembakau itu kemudiannya akan dimuatkan ke dalam lori yang siap menunggu di pangkalan haram dan dipercayai akan dihantar ke sebuah kilang di Perak untuk pasaran tempatan," katanya.
Beliau berkata tembakau adalah tertakluk kepada lesen import yang dikeluarkan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara di bawah Jadual Kedua Bahagian Dua, Butiran 11, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
-- BERNAMA