Persatuan Pengusaha Restoran Islam Malaysia (Presma) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa restoran India Muslim di Malaysia menggunakan daging anjing bagi menggantikan daging kambing dalam makanan.

Timbalannya, Datuk Khadar Shah Abdul Razak menegaskan pihaknya kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab dan menjelaskan isu itu yang viral di media sosial tidak berlaku di Malaysia.

Sebaliknya kejadian berkenaan berlaku di Tamil Nadu, India dan ia disiarkan secara meluas oleh portal dan saluran televisyen di negara tersebut.


Justeru itu, beliau mendesak pengguna Facebook dikenali sebagai ‘Udin Diraja’ yang menyebarkan maklumat palsu itu memohon maaf secara terbuka dan menarik balik posting berkenaan dalam tempoh tiga hari.

“Persatuan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dan saya juga memberi jaminan makanan yang disediakan restoran India Muslim di Malaysia adalah 100 peratus halal dan menerima pensijilan halal daripada pihak Jakim,” katanya dalam satu sidang media di restorannya di sini, hari ini.

Sumber Facebook

Pada masa sama, satu laporan polis dibuat bagi menyiasat individu terlibat yang disifatkan mencemarkan imej pengusaha nasi kandar dan restoran India Muslim di negara ini.