Hasil kaji selidik Merdeka Centre yang mendapati kebanyakan responden mahu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri dilihat usaha pihak tertentu untuk memecahbelahkan parti.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, kajian itu merupakan strategi terancang tangan-tangan jahat yang mahu melihat pergaduhan pemimpin parti di peringkat pusat sehingga ke peringkat akar umbi menjadi kenyataan.

"UMNO merupakan parti yang utuh dengan solidariti yang kuat ketika ini di bawah kepimpinan Najib walaupun diasak kuat oleh parti pembangkang ketika ini.

"Perpaduan dan sokongan kepimpinan parti dari akar umbi kepada Najib sudah tentu dicemburui oleh pemimpin-pemimpin parti-parti pembangkang sehingga sanggup menggunakan portal media alternatif dengan membuat survei yang dilihat luar daripada konteks kebiasaan tradisi hirarki kepimpinan dan pengkaderan UMNO," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Irmohizam mengulas hasil kajian Merdeka Centre dalam kalangan pemimpin politik pelapis yang mendapati kebanyakan rakyat negara ini mahu Hishammuddin menjadi perdana menteri akan datang.

Kaji selidik Merdeka Centre dari 21 hingga 30 Januari lepas mendapati 19.8 peratus daripada 1,008 responden memilih Hishammuddin sebagai bakal perdana menteri, melebihi sokongan diterima rakan-rakannya Khairy Jamaluddin (8.6%), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (8.4%), Rafizi Ramli (3.9%), Mohamed Azmin Ali (3.7%) dan Nurul Izzah Anwar (1.7%).

Kajian yang ditaja portal The Malaysian Insider itu juga menunjukkan majoriti responden (19.4%) mahu Hishammuddin memimpin Barisan Nasional (BN) jika atau selepas Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersara kelak.

Dalam pada itu kata Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, fokus utama kepimpinan tertinggi ketika ini adalah untuk memastikan UMNO sentiasa dilihat sebagai parti masa hadapan.

"Ia harus dilakukan dengan melakukan pelbagai usaha mensejahterakan rakyat dengan pendekatan parti yang lebih inklusif," jelasnya.

Sebelum ini, beberapa Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO meminta penyebar khabar angin 'tutup mulut' dan tidak menyebar sebarang spekulasi terdapat perbincangan tertutup Presiden bersama ketua bahagian UMNO yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Ahad lepas.

Antara spekulasi yang tersebar adalah berkenaan isu mencari sokongan dan kewajiban setiap ketua bahagian untuk menandatangani surat akuan sumpah setia kepada Najib atau sokongan kepada Muhyiddin.