Kementerian Pendidikan (KPM) sedia bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengkaji semula pengambilan pengawal keselamatan khususnya di sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu penting kerana ia melibatkan aspek keselamatan pelajar.

"KPM bersetuju dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar pengambilan pengawal keselamatan dikaji semula.

“Ia berikutan perkara itu melibatkan pekerja yang diambil oleh syarikat kawalan keselamatan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Tawaran Baharu kepada Pengetua bagi 2014 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.

Mengulas suspek kes rogol dan bunuh seorang pelajar di Pulau Pinang Ahad lalu, ujar beliau, kementeriannya akan menyiasat syarikat kawalan keselamatan yang mengambil pengawal keselamatan sekolah dengan rekod jenayah lampau.

"Kita akan melihat balik syarikat kawalan keselamatan berkenaan yang mengambil pengawal keselamatan yang dikatakan ada kes jenayah melibatkan dadah," jelasnya.

Berdasarkan syarat pengambilan pengawal keselamatan, Mahdzir menjelaskan, hanya warganegara Malaysia yang diterima bekerja untuk mengawal keselamatan pelajar di sekolah.

"Kita memperoleh kawalan keselamatan ini daripada syarikat-syarikat yang didaftarkan di KDN. Ia perlu memenuhi syarat-syarat telah ditetapkan kementerian itu. Ada 10,000 sekolah dan kita buka tender serta memilih syarikat yang memenuhi semua kriteria yang ditetapkan.

"Untuk sekolah, KPM tidak membenarkan pengambilan pengawal keselamatan warga asing, bermaksud semua melibatkan pengawal keselamatan tempatan sahaja. Namun, mereka semua dipilih oleh syarikat kawalan keselamatan," kata Mahdzir.

Jelasnya, penggunaan sepenuhnya warganegara Malaysia bukanlah perkara baru bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan mendapat pekerjaan.

"Dulu kita ambil warga asing, tetapi sekarang kita hanya ambil warga tempatan. Namun, apabila kita ambil warga tempata, sudah jadi kes (bunuh dan rogol) seperti ini pula," kata beliau.

Justeru katanya, kementeriannya akan sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan pengawal keselamatan diambil adalah memenuhi kriteria yang ditetapkan KDN.

"Ada 70 sekolah dalam Pejabat Pendidikan Daerah dan di bawahnya pula ada pengetua. Jadi, maknanya organisasi yang bertanggungjawab sudah sedia ada untuk menguruskan urusan berkaitan.

"KPM sedih dan bersimpati dengan keluarga mangsa yang terlibat. Ia tidak sepatutnya berlaku dalam suasana di mana pelajar itu sendiri akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," ujar beliau lagi.

Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu temubual eksklusif dengan Astro AWANI berkata beliau telah mengarahkan sebuah syarikat kawalan keselamatan mengemukakan surat tunjuk sebab berhubung tindakan pengawal keselamatan yang kini adalah suspek kes rogol dan bunuh pelajar Tingkatan Lima di Teluk Kumbar, Pulau Pinang Ahad lalu.

Menurut Ahmad Zahid, syarikat tersebut perlu mengemukakan sebab mengapa mengambil pekerja yang mempunyai rekod jenayah dan tidak memberhentikan suspek.

Polis sebelum ini mengesahkan suspek berusia 20 tahun itu mengaku melakukan perbuatan itu akibat cemburu.

Suspek turut mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.