Bagaimanapun, seorang waris Siti Idayu Mohd Ali, 41, berkata, dia terkejut apabila melihat kain kafan arwah ibunya masih berada dalam keadaan baik meskipun sudah 12 tahun dikebumikan.
"Arwah mak meninggal pada tahun 2012. Saya dimaklumkan tentang perkara itu selepas melihat status WhatsApp dan Facebook penduduk kampung.
"Jadi dalam jam 8.30 pagi tadi saya datang melihat kubur arwah ibu. Alhamdulillah...kain kafan arwah ibu masih baik dan tak hancur," katanya ketika ditemui Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Maras di sini pada Sabtu.
Sementara itu, seorang lagi waris, Nursyuhada Alias, 19, pula berkata, ancaman hakisan tersebut semakin memburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Justeru, Nursyuhada berkata, kubur arwah neneknya, Puteh Omar sememangnya terletak di tepi pantai dan sangat berisiko untuk runtuh akibat hakisan tersebut.
"Jadi kami sekeluarga berharap agar pihak berkuasa mengambil satu langkah bagi menangani isu ini supaya tidak berlaku lagi insiden yang sama," ujarnya.
Tinjauan mendapati kerja-kerja mencari rangka jenazah untuk dipindahkan ke tanah perkuburan lain yang selamat daripada ancaman hakisan masih giat dijalankan.
Difahamkan, terdapat lapan kubur akan dialihkan dan kesemua jenazah tersebut sudah tidak sempurna kecuali dua jenazah yang masih ada tengkorak.
Proses pengebumian semula itu dijangka dijalankan di Tanah Perkuburan Islam Hajar, Kampung Awang Lib pada petang.
Ketika ini, terdapat lebih 200 jenazah disemadikan sejak tanah perkuburan itu dibuka di kampung tersebut lebih 70 tahun lalu.
Sementara itu, Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun menyatakan pihak Jabatan Agama Islam dan Hal Ehwal Agama (JHEAT) telah diberi kebenaran untuk menggali dan memindahkan beberapa kubur yang berpotensi dihanyutkan ombak dengan segera.
"Proses tersebut perlu dilakukan kerana risiko lebih banyak kubur hanyut akibat hakisan disebabkan Monsun Timur Laut yang melanda Terengganu ketika ini," jelas beliau. - Sinar Harian