Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seberang Jertih, Hanif Abas berkata, masalah hakisan sungai di tanah perkuburan yang dibina atas tanah wakaf oleh penduduk kampung itu telah berlaku sejak sekian lama dan kini ia semakin meruncing.
"Masalah ini sebenarnya dah berlaku sebelum saya bertugas sebagai JPKK di kampung ini lagi sejak 2018.
"Sebelum ini, jarak tanah kubur dengan sungai agak jauh, kini jarak antara kubur dan tebing sungai tinggal tak sampai lima meter. Masalah hakisan ini ini lebih ketara berlaku apabila musim hujan dan berlaku banjir.
"Walaupun tanah kubur ni belum pernah dinaiki air, paras air yang tinggi ketika hujan lebat mempercepatkan lagi proses hakisan pada bahagian tebing sungai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Rabu.
Sehubungan itu, Hanif berkata, pihaknya berharap masalah itu mendapat perhatian pihak berwajib bagi mencari jalan penyelesaian sama ada kubur di situ dipindahkan atau membina benteng sungai.
"Setakat ini kita nampak ada dua langkah yang boleh dilakukan iaitu pindahkan kubur ke tanah perkuburan baharu yang terletak berdekatan kawasan kubur lama dan bina benteng sungai untuk melambatkan proses hakisan,"katanya.
Hanif memberitahu, dia telah membuat aduan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa agama bagi membolehkan tindakan susulan dilakukan.
Namun katanya setakat ini belum ada tindakan diambil bagi mengatasi masalah itu.
"Kita faham semua proses yang mahu dilaksana memerlukan kos yang tinggi namun sekiranya tindakan tidak diambil ia akan menjadi semakin parah.
"Kita bimbang keadaannya bertambah parah sekiranya banjir besar melanda. Kita juga khuatir jika dibiarkan sahaja keadaan ini akan menyebabkan tanah kubur semakin terhakis dan jenazah yang dikebumikan berisiko dihanyutkan air sungai," katanya. - Sinar Harian