KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri hari ini bersetuju dengan terma dan syarat perjanjian dengan syarikat Ocean Infinity dari United Kingdom (UK) untuk meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370.


Ringkasan AI
  • Jemaah Menteri bersetuju dengan terma dan syarat perjanjian dengan syarikat Ocean Infinity dari UK untuk meneruskan pencarian bangkai pesawat MH370.
  • Operasi pencarian dasar laut akan dimulakan di lokasi baharu seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi, di mana bayaran hanya akan dibuat jika bangkai pesawat ditemui.
  • Kerajaan Malaysia komited meneruskan operasi pencarian untuk memberikan penutup bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dengan kelulusan Jemaah Menteri hari ini, Kementerian Pengangkutan akan mewakili Kerajaan Malaysia bagi menandatangani perjanjian pencarian dengan syarikat itu.

"Keputusan Jemaah Menteri ini membolehkan operasi pencarian dasar laut dimulakan bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip “no find, no fee”.

"Mengikut prinsip ini, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.

"Fi sejumlah US$70 juta akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya dijumpai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan komited meneruskan operasi pencarian dan memberikan 'penutup'bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370.