Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memaklumkan akan meneruskan tugasannya seperti biasa bermula esok.

"Alhamdulillah, Majlis Angkat Sumpah telah pun selesai dan saya boleh mulakan tugas serta-merta dan esok akan ada Mesyuarat Kabinet yang pertama," katanya ketika ditemui di luar pintu Istana Melawati, Putrajaya pada Selasa.

Zuraida yang sebelum ini memegang portfolio Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan juga melahirkan rasa syukur kerana kembali kepada kementerian lamanya sekaligus diharap memudahkan tugasan beliau.

"Saya dapat kementerian yang sama seperti dahulu jadi memudahkan saya untuk terus bergerak kerja turun padang," katanya lagi.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang hadir di Istana Melawati bagi menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia yang berlangsung jam 3 petang tadi.

BACA: Kesemua 31 menteri Kabinet angkat sumpah jawatan di hadapan Agong



Grafik Astro AWANI