Pemimpin dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain, Oman, Mesir, Jordan, dan Palestin, antara lain, menghantar mesej tahniah kepada Trump atas pelantikannya sebagai Presiden AS ke-47.
Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, melalui platform X mendoakan kejayaan kepada Trump dan pentadbirannya sambil menyatakan, "Beta berharap dapat bekerjasama dengannya untuk memperkukuh hubungan strategik UAE-AS dan mempromosikan keamanan serta kestabilan serantau."
Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, turut mendoakan kejayaan Trump dalam tugasnya serta perkembangan dan kemajuan hubungan persahabatan serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, mengucapkan tahniah kepada Trump atas pelantikannya, sambil menegaskan "komitmen baginda untuk memperkukuh hubungan strategik" antara Bahrain dan AS, menurut kenyataan agensi berita rasmi Bahrain, BNA.
Sultan Oman, Haitham bin Tarik menzahirkan harapan baginda agar kerjasama dan perkongsian antara negaranya dan AS terus berkembang, menurut kenyataan agensi berita rasmi Oman.
"Saya menegaskan kesinambungan kerjasama dengan Tuan Yang Terutama untuk memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara kita, demi kepentingan bersama yang melayani rakyat dan memperkukuh keamanan serta kestabilan di rantau kita dan dunia," kata Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi di halaman Facebook rasminya.
Raja Jordan, Raja Abdullah II, mengucapkan tahniah kepada Trump, sambil menegaskan komitmen baginda untuk bekerjasama ke arah dunia yang lebih makmur dan aman.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, turut menyertai pemimpin Arab lain dalam mengucapkan tahniah kepada Trump.
Dalam mesejnya yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Palestin, WAFA, Abbas menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Trump demi mencapai keamanan sepanjang tempoh pentadbirannya, "berpandukan penyelesaian dua negara berdasarkan keabsahan antarabangsa."
-- BERNAMA