"Di setiap arena, kita mempertahankan hak kita untuk keamanan, kestabilan dan kedamaian," tulis Maduro di media sosial pada Sabtu.
Seruan itu hadir di tengah-tengah ketegangan politik yang semakin memuncak di Venezuela.
Gabungan pembangkang, Democratic Unity Platform (PUD), mendakwa calonnya Edmundo Gonzalez Urrutia adalah pemenang sebenar pilihan raya dan merancang mengadakan majlis angkat sumpahnya pada 10 Januari.
PUD mendapat sokongan beberapa negara Barat.
Maduro berkata bahawa gerakan sosial dan politik yang menyokong pentadbirannya "akan terus bergerak aktif dengan penuh kegembiraan dan pelbagai cara," sambil menambah bahawa "pada 10 Januari, kekuatan rakyat akan hadir".
"Pada 10 Januari ini, rakyat Venezuela akan mengangkat sumpah dengan semangat yang mendefinisikan kita, demi perjuangan dan tanah air kita. Apa yang menanti pada 2025 adalah monumental!
"Mereka yang berusaha melemahkan kita telah gagal menundukkan kekuatan rakyat yang tidak dapat dipadamkan," katanya.
Beliau menggesa penyokongnya untuk terus berjuang mempertahankan hak dalam proses demokrasi.
-- BERNAMA