BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) tidak akan mengiktiraf keputusan pilihan raya presiden di Venezuela tanpa pendedahan penuh rekod pengundian rasmi, kata Peter Stano, jurucakap diplomat tertinggi EU Josep Borrell pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Sebarang cubaan untuk melengahkan penerbitan penuh rekod pengundian rasmi hanya akan menimbulkan keraguan lanjut terhadap kredibiliti keputusan yang diterbitkan secara rasmi," kata Stano dalam satu kenyataan.

Selepas pilihan raya pada 28 Julai, pihak berkuasa pilihan raya Venezuela mengisytiharkan penyandang autoritarian, Presiden Nicolas Maduro, yang telah berkuasa sejak 2013, sebagai pemenang.

Bagaimanapun, pihak berkuasa pilihan raya masih belum menerbitkan keputusan terperinci bagi setiap daerah mengundi di tengah-tengah dakwaan penipuan pilihan raya.

Pihak pembangkang menuduh kerajaan melakukan penipuan pilihan raya dan mendakwa kemenangan untuk calonnya, Edmundo Gonzalez.

Kumpulan pembangkang mengatakan bahawa keputusan pengundian terperinci mereka sendiri daripada lebih 80 peratus kawasan pilihan raya di Venezuela menunjukkan bahawa Gonzalez meraih 67 peratus undi dan Maduro hanya 30 peratus.

Keputusan pilihan raya itu mencetuskan protes di Venezuela serta di luar negara dan sebilangan besar rakyat sekali lagi turun ke jalanan di ibu negara Caracas pada Sabtu untuk membantah terhadap Maduro.

EU menyeru pihak berkuasa Venezuela untuk menghormati kebebasan bersuara, berhimpun dan hak asasi manusia, kata Stano dan menyatakan "kebimbangan serius mengenai peningkatan jumlah penahanan sewenang-wenangnya dan gangguan berterusan terhadap pembangkang".

Banyak kerajaan asing telah menolak untuk mengiktiraf pemilihan semula Maduro pada 2018. Juan Guaido, presiden parlimen ketika itu, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara.

Banyak kerajaan asing enggan mengiktiraf pemilihan semula Maduro pada 2018. Juan Guaido, presiden parlimen ketika itu, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara.

Amerika Syarikat, Jerman dan negara lain mengiktiraf Guaido, tetapi Maduro dapat mengekalkan sokongan kumpulan berkuasa di Venezuela, termasuk tentera.

Angkatan tentera sekali lagi telah berikrar kesetiaan mereka kepada Maduro.

-- BERNAMA