KUALA LUMPUR: Jurutera pembinaan bagi projek Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Gaza, Hissam Mansour dilaporkan meninggal dunia dalam serangan udara terbaharu rejim Israel ke atas pejabat organisasi di Utara Gaza. 


Ringkasan AI
  • Pemergian Allahyarham: Hissam Mansour, seorang pegawai lapangan penting MAPIM, dilaporkan meninggal dunia dalam serangan udara Israel. Berita ini dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Sani Araby Al-Kahery, dalam satu kenyataan hari ini.
  • Projek Pembinaan di Gaza: Hissam Mansour telah banyak membantu dalam pembinaan projek-projek MAPIM di Gaza sejak 2012. Salah satu projek yang menjadi fokus adalah Bandar Wakaf Malaysia di Gaza dan pembinaan bangunan Menara ICT Malaysia bersama Cinta Gaza Malaysia (CGM).
  • Dedikasi untuk Gaza: Allahyarham sangat teruja dan menyifatkan projek-projek ini sebagai sangat perlu untuk keperluan asas penduduk Gaza. Beliau berusaha agar Gaza dibangunkan secara tersusun dan mewakili Malaysia. Sani Araby menyatakan bahawa hidup Allahyarham didedikasikan untuk mempertahankan serta membangunkan Gaza.


Berita pemergian pemuda warga Palestin itu dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Sani Araby Al-Kahery dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sani Araby, Allahyarham yang juga pegawai lapangan penting MAPIM terkorban syahid dalam serangan berkenaan.

"Dengan penuh hiba dan berduka, saya kehilangan sahabat dan insan penting yang banyak membantu seawal 2012 untuk pembinaan projek-projek MAPIM di Gaza

"Menerima mesej yang sungguh mengejutkan dan hiba... Kelu saat gambar sahabat merangkap pegawai lapangan penting kita terkorban syahid di Gaza," katanya dalam kenyataan tersebut.

Berkongsi lanjut, beliau berkata kali terakhir mereka berhubung ketika perbincangan mengenai Bandar Wakaf Malaysia di Gaza dan pembinaan bangunan Menara ICT Malaysia bersama Cinta Gaza Malaysia (CGM).

Katanya, Allahyarham begitu teruja dan menyifatkan projek tersebut sebagai sangat perlu untuk keperluan asas penduduk Gaza, selain sebagai contoh agar Gaza dibangunkan secara tersusun dan mewakili Malaysia.

"Sesungguhnya kami menjadi saksi betapa hidupnya didedikasikan untuk mempertahankan serta membangunkan Gaza," tambahnya.

Dalam masa sama, Sani Araby mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para syuhada.