SHAH ALAM: Padah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah menerusi aplikasi WhatsApp, seorang juruteknik syarikat penerbangan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Mohd Redzuan Mohd Radzir, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa secara sedar melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang individu dengan niat menyakiti hati orang lain, yang dibaca di sebuah pejabat di Seksyen U8, Bukit Jelutong di sini, kira-kira 11.30 pagi, 7 Feb 2018.

Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Mohd Redzuan membayar denda yang diputuskan Hakim Rasyihah Ghazali itu.

Mengikut fakta kes, pengadu membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas berasa sakit hati kerana komunikasi yang dihantar OKS menunjukkan gambar isteri pengadu dalam keadaan mengaibkan.

Bertindak daripada aduan tersebut, sepasukan anggota polis dan pegawai MCMC membuat serbuan di beberapa lokasi serta merampas barangan juruteknik itu, antaranya telefon bimbit dan komputer riba, dan menemukan komunikasi lucah berkenaan hasil analisis forensik.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala OKS diwakili peguam Swinder Singh Ram Singh.

-- BERNAMA