KUALA LUMPUR: Pasaran buruh terus mengukuh pada 2022 dengan kadar pengangguran yang lebih rendah iaitu 3.9 peratus dan guna tenaga yang lebih tinggi, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, bilangan penganggur berkurang sebanyak 14 peratus dengan mencatatkan 630,400 orang berbanding 2021 sebanyak 733,000 orang.

Katanya, tenaga buruh di Malaysia bertambah sebanyak 1.4 peratus kepada 16.02 juta orang berbanding 2021 sebanyak 15.80 juta orang.

"Sehubungan itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) 2022 naik sebanyak 0.7 mata peratus merekodkan 69.3 peratus berbanding tahun sebelumnya 68.6 peratus..

"Persekitaran ekonomi yang positif sepanjang 2022 membawa kepada situasi tenaga buruh yang menggalakkan pada tahun tersebut susulan lebih banyak peluang pekerjaan dari pelbagai industri telah diwujudkan," katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, 2022 yang diterbitkan, pada Isnin.

Bagaimanapun, Mohd Huzir berkata, pada 2022, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun meningkat sebanyak 0.4 mata peratus kepada 11.7 peratus (321,200) berbanding 2021 dengan 11.3 peratus (329,100).

Sebaliknya, kadar pengangguran bagi penduduk dewasa yang berumur 25 hingga 64 tahun menurun sebanyak 0.8 mata peratus kepada 2.3 peratus dengan 309,100 ribu orang penganggur berbanding 403,900 orang (3.1 peratus).

Mengulas kedudukan guna tenaga pada 2022, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja merekodkan seramai 15.39 juta orang iaitu peningkatan sebanyak 2.2 peratus berbanding tahun sebelumnya 15.06 juta orang.

"Keupayaan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan, seperti yang ditunjukkan oleh nisbah guna tenaga kepada penduduk, meningkat sebanyak 1.1 mata peratus tahun ke tahun kepada 66.5 peratus berbanding 2021 (65.4%).

Dari segi status pekerjaan katanya, kategori pekerja merangkumi peratus sumbangan terbesar penduduk bekerja iaitu 78.3 peratus pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya 11.82 juta orang

Manakala, bilangan penduduk bekerja sendiri yang meliputi 15.1 peratus meningkat kepada 2.33 juta orang dengan pertambahan 4.2 peratus.

Mohd Huzir berkata, sebahagian besar penduduk bekerja tertumpu dalam sektor perkhidmatan, mewakili 65 peratus.

"Ini diikuti oleh sektor pembuatan dengan 16.8 peratus dan pertanian (10 peratus), sementara guna tenaga dalam sektor pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing merangkumi 7.6 peratus dan 0.5 peratus," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Huzir berkata, bagi kumpulan yang tidak aktif, komposisi terbesar penduduk di luar tenaga buruh mengikut jantina adalah golongan perempuan yang merangkumi 69.6 peratus.

"Kerja rumah atau tanggungjawab keluarga merupakan sebab utama bagi luar tenaga buruh dengan 44.5 peratus, diikuti oleh bersekolah atau latihan (40.9 peratus).

Merumuskan keseluruhan kedudukan tenaga buruh pada 2022, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan lebih sederhana pada 2023.

Peningkatan bilangan ketibaan pelancong akan terus menyokong pemulihan dalam subsektor pelancongan seiring dengan kedudukan pasaran yang bertambah baik, terutamanya dalam sektor
Perkhidmatan.

"Berikutan aktiviti ekonomi yang terus berkembang pada tahun 2023, pasaran buruh dijangka kekal stabil," ujarnya.