Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata bilangan tenaga buruh meningkat 2.5 peratus untuk merekodkan 17.15 juta orang, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan 2.8 peratus penduduk bekerja yang merangkumi 16.59 juta orang pada tempoh tersebut.
"Pada tempoh yang sama, bilangan penganggur terus berkurang 4.1 peratus kepada 557,800 orang mencatatkan kadar pengangguran 3.3 peratus, kekal tidak berubah untuk tiga suku tahun berturut-turut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata peningkatan perbelanjaan isi rumah berikutan keadaan pasaran buruh yang kukuh dan sokongan dasar lebih meluas, menyumbang kepada prestasi ekonomi Malaysia yang lebih baik dengan kadar pertumbuhan lebih tinggi iaitu sebanyak 5.9 peratus, berbanding 4.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Eksport yang terus berkembang selari dengan potensi kemasukan pelaburan ke dalam negara turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan permintaan terhadap buruh, katanya.
Penawaran buruh kekal kukuh apabila kadar penyertaan tenaga buruh naik 0.5 mata peratus tahun ke tahun kepada 70.5 peratus, katanya.
Mengenai situasi guna tenaga tidak penuh pada ST2, beliau berkata bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu menurun 1.6 peratus berbanding suku sama tahun 2023.
"Sehubungan itu, bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa menurun 8.9 peratus kepada 169,800 orang dengan kadar 1.0 peratus," katanya.
Dengan perkembangan ekonomi pada ST2, beliau berkata produktiviti buruh yang diukur dengan nilai ditambah per pekerja meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya untuk mencatatkan nilai RM24,151 per pekerja (ST2 2023: RM23,434; ST1 2024: RM24,236).
Sementara itu, jumlah jam bekerja pada ST2 meningkat sebanyak 3.4 peratus, menjadikan jumlah jam bekerja 9.61 bilion jam.
-- BERNAMA