Bagaimanapun di Negeri Sembilan, banjir telah pulih sepenuhnya dengan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Machang, Lenggeng, Nilai ditutup pada 12 tengah hari tadi.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 9,721 orang daripada 2,962 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 1,991 orang daripada 561 keluarga yang direkodkan pagi tadi.
Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan, sebanyak 65 PPS dibuka melibatkan enam jajahan di negeri itu iaitu Kuala Krai (20), Tanah Merah (19), Pasir Mas (17), Gua Musang (empat), Machang (tiga) dan Jeli (dua).
Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, paras air empat sungai utama di negeri itu iaitu Sungai Kelantan dan Sungai Nal di Kuala Krai, Sungai Golok di Tanah Merah serta Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas berada pada tahap bahaya.
Banjir gelombang ketiga di TERENGGANU semakin memburuk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di enam daerah meningkat kepada 4,294 orang daripada 1,147 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 2,281 orang daripada 661 keluarga pagi tadi.